Posted by Anonymous | Posted in Kapten Luffy | Posted on 8:07 PM
p/s: Sajak ini bukan ciptaan aku tetapi aku ubahsuai mengkikut citarasa aku. Sajak ini diperolehi melalui email dan sajak diubahsuai ini pernah aku post dalam blog lama suatu masa dahulu.
Keempat-empat isteriku,
Lembut kamu melenakan, ribut kamu menggusarkan.
Adakalanya kamu seperti ibu. Menyaji kasih, menghidang sayang.
Adakalanya kamu seperti anak. Ingin dibelai, minta dimanjakan
Adakalanya kamu seperti nenek. Berleter seadanya, merungut semahuannya.
Namun,
Kamu sebagai teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini.
Bahagia dan derita kita sangat berkait dengan kamu.
(i)
Psst....
Tiba-tiba kamu merajuk, pandai-pandailah diriku memujuk.
Kan ku buka telinga, tajamkan pendengaran, amati suara kamu.
Kan ku teliti dengan hati yang terseni, rasional atau emosi ?
Andainya emosi, ku belai emosi itu. Ku tidak cuba dihadapkan secara rasional.
Kerana kamu tak akan terdaya mengunyah hujah.
Walaupun diriku beri seribu sebab lengkap dengan perangkaan statistik atau dokumen saintifik berserta dengan beberapa affidavit.
Kamu tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.
Dalam situasi ini fikiran telah ditawan perasaan.
Sebaiknya, diriku perhaluskan kata, perindahkan bahasa
Kan ku jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.
Masih gagal ?
Kan ku cuba gunakan sentuhan
semarakkan belaian.
Masih gagal juga ?
Kan ku tunggu saja rajuknya reda.
Emosi kamu bagai riak-riak air dalam cawan.
Tidak akan ku goncang... buat selamba.
Lambat laun, gelombang akan tenang.
Air dicawan akan kita minum jua.
Kan ku sentiasa ber-awas...
Kalau ternyata, rajuk kamu berfakta.
Masam kamu berdata, geram kamu berilmiah.
Marah kamu ada prima facie.
Ku tahu ini rajuk taraf tinggi namanya.
Kan ku tangani berhati-hati.
Kalau ternyata benar,apa salahnya diriku terima.
Mengaku lalu berjanji serta berikrar,
"Sayang abang tak ulang lagi",
Kan ku katakan "Sayang....abang alpa",
Kan ku bisikkan "Darling.. I lupa..",
Kan ku hulurkan tangan, pinta kemaafan.
Pendekatan kasanova, tapi hati ku suci.
Rajuk kamu seperti mangga muda, perisanya masam.
Tetapi... kalau kena cicahnya enaknya akan terasa.
Kan ku ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin.
(ii)
Arghh...
Tiba-tiba kamu merungut, malah kadangkala agak kamu mengugut.
Kamu minta aksesori serta perabut.
Kamu minta Villa yang tersergam indah.
Kamu minta mahligai di lereng bukit.
Sedangkan aku bukan Shah Jehan. Yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya.
Tetapi kamu pula, persis Nur Jehan. Yang meminta petanda keagungan cintanya.
Katanya " Seabadi permata.... segermelapan intan " ...
Sedangkan ditangan aku cuma cincin tembaga.
Aduh...
Peritnya aku mengukur cinta.
Dalam ukuran mayam atau menimbang setia.
Menerusi Bursa Saham papan utama.
Kasih kamu, turun naik.
Mengikut kadar tukaran wang asing.
Tiada gunanya aku menyesali diri.
Kamukan dulu pilihan aku?
Semasa mekar kamu,
Kamu ku hargai, dipuja-puji.
Kamu kini sudah menjadi ibu pada anak-anak kita.
Sudah takdir... permata yang ku pilih perlu ku gilap semula.
Namun...
Putus asa ku tidak sekali.
Kan ku terima kamu, dengan redha.
Justeru kamu pada hakikatnya adalah bayang-bayang ku.
Kamu adalah tulang rusuk yang bengkok.
Kan ku luruskan dengan berhati-hati bertegas tapi tidak ku berkeras.
Kan ku berlembut tapi tidak ku biarkan reput.
Kan ku katakan RM bukan segala-galanya.
Lalu pada saat yang kudus, setelah kita bersolat bersama.
Kan ku bisikkan,
"Duhai isteriku...
Marilah kita bina perkahwinan ini dengan cinta yang sejati.
Marilah kita kutip rezeki dengan keringat tersuci.
Marilah kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya.
Pada kamu 4 isteri ku,istana kamu, di hati ini.
pada kamu sayang kalung cinta kamu, di jiwa ini."
(iii)
Puuuh...
Akan tiba masanya bila 'kamu' di hati tapi kurang di mata.
Usia kamu meningkat kecantikan tergugat.
Dulu yang aku lihat mulus kini beransur pupus.
Betis kamu, tidak lagi bunting padi.
Pipi kamu, bukan lagi pauh dilayang.
Apakah dengan itu akan berkurang cinta aku?
Jika berkurang, nyatalah cinta ku selama ini cinta di mata bertapak di body.
Tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah,
Ertinya cinta ku di hati, berpasak di budi.
Itulah cinta ku yang sejati.
Namun tidak salah di samping menyanjung budi,
Kamu merampingkan 'body'.
Kalau ada kesempatan kan ku ajak kamu bersenam, amalkan puasa sunat.
Tapi ingat niat kita kerana Tuhan.
Bukan kerana kita ingin kuruskan badan.
Tapi Tuhan Maha Penyayang.
DIA pasti membantu kamu yang memburu keredhaan ku.
Tak salah kalau kamu mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan.
Sama-samalah merampinkan badan yang terlebih dikurangkan.
Tidak ku mencemuh apalagi menjauh.
Apa guna aku membandingkan kamu dengan perawan.
Bukan masanya lagi aku merenung dara.
Tapi kini saat aku menghitung dosa.
Baik aku ajak kamu sama-sama menambah bakti.
Moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia.
Di dunia ini dan di akhirat nanti.
Itulah yang dikatakan hidup berlima, 'selepas' mati pun bersama.
(iv)
Uhhh...
Kekadang kamu mengamuk dengan ombak prasangka dan taufan cemburu.
Apa bukti setia ku?
Apakah tandanya hanya aku di hati kamu?
Kekadang kamu sergah aku.
Ketika keringat masih membasah baru menjengah pintu rumah.
Ketika itu kan ku nilai diri.
Mungkin aku berdosa dengan Tuhan.
Atau aku bersalah dengan insan
Mungkin aku banyak kezaliman dan penganiayaan.
Yang telah aku lakukan.
Lalu datang padaku teguran, amaran dan peringatan secara 'indirect' dari Tuhan.
Kan ku hadapkan diri ke cermin hati.
Kan ku kaji diri satu persatu.
Kalau aku liar, kan ku cuba berhenti.
Kalau aku berdosa, kan ku bertaubat.
Sebaliknya jika ternyata kamu yang melulu.
Kan ku nasihat baik-baik.
Bukan senang nak senang.
Akan ku ingat mustika kata dalam kitab-kitab tua.
Jika aku yang bersabar dengan kamu yang jahat.
Insya-Allah aku kan mendapat pahala Nabi Ayub.
Atau aku ingat pesan Sayidina Umar al-Khattab.
Ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri:
"Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri telah banyak membantu kita.
Dia yang menyelamatkan kita daripada amukan nafsu.
Dia yang membantu menjaga makan minum kita.
Dia yang mencuci kain baju kita
Dia yang membantu membersihkan rumah kita...
lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit kerenahnya?"
(v)
Akan ku tabur secubit salji pada segenggam api.
Telah banyak ku dengar cerita keruntuhan, kisah perpisahan.
Akan ku suburkan kembali pohon perkahwinan ini,
Walaupun sudah berdekad-dekad usianya.
Institusi ini adalah kubu terakhir kita.
Akan ku pertahankan bersama kamu.
Cinta kita jangan mati dalam arus dunia siber, biar setia kita makin waja.
Biarlah skrin-skrin internet atau inranet memaparkan,
yang indah-indah pantulan seri rumah tangga kita.
Isteri-isteriku berempat,
Aku hanya seorang suami yang menerima setulus hati 4 orang isteri.
Janji yang termeterai di akad nikah kita musim yang lalu.
Salam kuhulur buat menyapa hatimu nan luhur.
Bersamalah kita harungi derita yang datang.
Bersatulah kita tempuhi nikmat yang bertandang.
Denai perkahwinan pasti dihujani air mata.
Biar kita rasa: rupanya syurga itu sangat tinggi maharnya.
Isteri-isteriku berempat...
Tidak kutagih setia, sesetia Hawa.
Atau kerinduan menggila Laila yang sangat dalam.
Terimalah kehadiranku di sudut tersuci di dalam hati kamu...
Empat orang isteri ku.